Log in
11
September

Oleh: DarulHikmah

Lailatul qadr adalah satu malam yang dirahsiakan kedatangannya oleh Allah S.W.T. Tiada siapa boleh mengetahui secara pasti pada malam bilakah Lailatul Qadr akan muncul. Sesetengah Ulama’ berpendapat malam lailatul Qadr muncul pada satu malam diantara malam-malam ganjil di bulan Ramadhan yakni samada pada malam 21, 23, 25, 27 ataupun 29. Ada pendapat yang kuat mengatakan bahawa malam lailatul qadr jatuh pada malam yang ke-27.

Pendapat ini disokong oleh sebuah hadis dari Ubay bin Ka’ab yang berkata:

“ Demi Allah, yang tiada tuhan selain Dia, ianya (malam lailatul qadr) berlaku pada bulan Ramadhan dan demi Allah aku tahu pada malam bila ianya berlaku. Ianya berlaku pada malam dimana Rasulullah mengarahkan kami untuk bersolat yakni pada malam ke-27. Kami juga melihat tandanya dimana matahari akan terbit pada siang hari berwarna putih tanpa sinar yang terang benderang.” ( Hadis ini diriwayatkan sahih oleh Imam Muslim, Abu Dawud, Ahmad dan At-Tirmidzi )

Namun begitu, tiada siapa boleh menyatakan secara putus bila malam itu berlaku kerana Rasulullah S.A.W tidak menyatakannya secara terus apakah benar malam lailatul qadr itu jatuh pada malam yang ke-27. Sebaliknya Baginda hanya mengarahkan sahabatnya agar meningkatkan ibadah pada malam tersebut.

Namun begitu, apa yang pasti, malam lailatul Qadr akan berlaku pada salah satu malam daripada 10 malam terkahir Ramadhan. Hal ini dibuktikan dengan tindakan Rasulullah S.A.W yang akan meningkatkan ibadat Baginda dengan bangun malam, mengejutkan isteri-isterinya dan memisahkan diri dari tidur bersama sepanjang tempoh tersebut.

Bagi mereka yang berjaya menemui malam Lailatul Qadr dan mengisinya dengan ibadah, ganjaran yang menanti amatlah besar. Dalam Surah Al-Qadr Allah ada menyatakan kelebihan beribadah pada malam Lailatul Qadr:

“Malam lailatul Qadr itu lebih baik dari seribu bulan.” ( Surah Al-Qadr: 3 )

Dalam erti kata lain, Allah akan menghadiahkan mereka yang melakukan ibadah pada malam lailatul qadr dengan ganjaran setimpal seolah-olah melakukan ibadah tersebut selama seribu bulan berturut-turut tanpa henti. Nah, betapa pemurahnya Allah dalam hal memberikan ganjaran kepada hamba-hamba- Nya.

Dalam sebuah hadis riwayat Muslim, Rasulullah S.A.W telah bersabda:

“Sesiapa yang beribadah pada Lailatul Qadar dengan penuh keimanan dan pengharapan kepada keredhaan Ilahi, nescaya dia akan diampuni segala dosanya yang lampau.”

Justeru, peluang untuk memperoleh ganjaran dalam beribadat dan diampuni dosa sekaligus pada malam Lailatul Qadr tidak harus dilepaskan oleh kita semua.

Jikalau kita meneliti sunnah Rasulullah S.A.W. kita akan mendapati bahawa Baginda akan meningkatkan amalan Baginda pada 10 malam terakhir pada bulan ramadhan. Pada 10 malam terkahir inilah Baginda akan melaksanakan pengasingan diri di masjid ataupun beri’tikaf.

Baginda akan bangun malam dan melakukan pelbagai ibadah seperti solat malam, membaca Al-Quran dan berzikir secara bersungguh-sungguh. Malah baginda juga akan memisahkan diri daripada tempat tidur bersama isterinya demi memastikan baginda fokus dalam melakukan ibadah. Semua ini dilakukan dengan satu harapan iaitu agar ibadah yang dilakukan bertepatan dengan malam lailatul Qadr.

Rasulullah juga mengajar umatnya agar membaca doa berikut sekiranya berada pada malam Lailatul Qadr:

“Ya Allah, sesungguhnya Engkau adalah Tuhan Yang Maha Pemaaf lagi Pemurah, yang suka memberi kemaafan, maka maafkanlah aku.”

Doa ini diajarkan oleh baginda kepada Aisyah dalam sebuah hadis sahih riwayat Imam Ahmad.

Kesimpulannya, bulan Ramadhan hanyalah datang setahun sekali. Itupun masih lagi ramai yang tidak memanfaatkan sepenuhnya tempoh sebulan yang diberikan oleh Allah dalam mengejar rahmat dan keampunan-Nya. Justeru, diharap hikmah dirahsiakan malam Lailatul Qadr beserta dengan kelebihannya boleh dianggap sebagai salah satu bentuk insentif ‘last minute’ dalam menggalakkan umat islam untuk merebut ganjaran daripada Allah S.W.T. Cuma persoalannya, apakah untuk malam Lailatul Qadr tahun ini kita terasa untuk memburunya?

Sumber:

1) Fiqh-As-Sunnah; As Sayyid Sabiq

2) remajaisma.wordpres s.com

07
September

Puasa Ramadhan – HAMKA

Written by admin. No comments Posted in: Video
Tagged with , ,

06
September

nuzul

Oleh;  Dr. Samsu Adabi  Mamat

Nuzul al-Quran

Peristiwa nuzul al-Quran menjadi satu rakaman sejarah dalam kehidupan Nabi SAW hingga  seterusnya berperingkat-peringkat menjadi lengkap sebagaimana kitab al-Quran yang ada pada kita hari ini. Peristiwa Nuzul al-Quran berlaku pada malam Jumaat, 17 Ramadan, tahun ke-41 daripada keputeraan Nabi Muhamad SAW. Perkataan ‘Nuzul’ bererti turun atau berpindah dari atas ke bawah. Bila disebut bahawa al-Quran adalah mukjizat terbesar Nabi SAW maka ianya memberi makna terlalu besar kepada umat Islam terutamanya yang serius memikirkan rahsia al-Quran.

‘Al-Quran’ bererti bacaan atau himpunan. Di dalamnya terhimpun ayat yang menjelaskan pelbagai perkara meliputi soal tauhid, ibadat, jinayat, muamalat, sains, teknologi dan sebagainya. Kalimah al-Quran, sering dicantumkan dengan rangkai kata ‘al-Quran mukjizat akhir zaman’ atau ‘al-Quran yang mempunyai mukjizat’. Malah inilah sebenarnya kelebihan al-Quran tidak ada satu perkara pun yang dicuaikan atau tertinggal di dalam al-Quran. Dengan lain perkataan segalanya terdapat di dalam al-Quran. Firman Allah:

Dan tidak seekor pun binatang yang melata di bumi, dan tidak seekor pun burung yang terbang dengan kedua sayapnya, melainkan mereka umat-umat seperti kamu. Tiada Kami tinggalkan sesuatu pun di dalam kitab Al-Quran ini; kemudian mereka semuanya akan dihimpunkan kepada Tuhan mereka (untuk dihisab dan menerima balasan). (Al-An’am:38)

al-Quran adalah hidayah, rahmat, syifa, nur, furqan dan pemberi penjelasan bagi manusia.. Segala isi kandungan al-Quran itu benar. Al-Quran juga dikenali sebagai Al-Nur bererti cahaya yang menerangi, al-Furqan bererti yang dapat membezakan di antara yang hak dan batil dan al-Zikr pula bermaksud yang memberi peringatan.

Dalam sejarah kehidupan Nabi SAW ayat al-Quran yang mula-mula diturunkan Allah kepada Nabi Muhammad SAW melalui perantaraan malaikat Jibrail ialah lima ayat pertama daripada surah Al-‘Alaq. maksudnya:

”Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhan mu yang menciptakan (sekalian makhluk), Ia menciptakan manusia dari sebuku darah beku; Bacalah, dan Tuhan mu Yang Maha Pemurah, -Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan, -Ia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya.” (al-‘alaq:1-5)

Hubungan Lailatul Qadar dan Nuzul al-Quran

Lailatul Qadar pula ialah suatu malam pada bulan Ramadhan yang begitu istimewa sekali fadilatnya. Malam al-Qadar adalah suatu malam yang biasanya berlaku pada 10 akhir Ramadhan dan amalan pada malam itu lebih baik baik dari 1000 bulan.

Apakah kaitannya malam al-Qadar dengan nuzul al-Quran? Sebenarnya al-Quran dan malam Lailatulqadar mempunyai hubungan yang rapat antara satu sama lain sebagaimana yang diterangkan di dalam kitab Allah dan hadis Rasulullah SAW di antaranya firman Allah  SWT

Maksudnya: Sesungguhnya Kami telah menurunkan (Al-Quran) ini pada Malam Lailatul-Qadar, Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui apa dia kebesaran Malam Lailatul-Qadar itu? Malam Lailatul-Qadar lebih baik daripada seribu bulan. Pada Malam itu, turun malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka, kerana membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun yang berikut); Sejahteralah Malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar! (al-Qadar:1-5)

Mengikut satu pandangan, ayat ini diturunkan  berdasarkan satu riwayat dari Ali bin Aurah, pada satu hari Rasulullah SAW telah menyebut 4 orang Bani Israel yang telah beribadah kepada Allah selama 80 tahun. Mereka sedikit pun tidak derhaka kepada Allah, lalu para sahabat kagum dengan perbuatan mereka itu. Jibril datang memberitahu kepada Rasulullah SAW menyatakan  bahawa Allah SWT menurunkan yang lebih baik dari amalan mereka. Jibril pun membaca surah al-Qadar dan Jibril berkata kepada Rasulullah ayat ini lebih baik daripada apa yang engkau kagumkan ini menjadikan Rasulullah SAW dan para sahabat amat gembira.

Dalam hadis yang lain Aishah juga meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda bersedialah dengan bersungguh-sungguh untuk menemui malam Lailatul qadar pada malam-malam yang ganjil dalam 10 malam yang akhir daripada bulan Ramadhan.

Panduan

Dari maklumat serba sedikit di atas tadi sebenarnya banyak boleh dijadikan panduan kepada umat Islam seluruhnya. Antara panduan berkenaan ialah seperti:

1.      Tidak ada perkara yang tidak terdapat dalam al-Quran

2.      Ayat pertama diturunkan ialah ‘iqra’ iaitu ‘baca’ dan Tuhan mengajarkan manusia melalui perantaraan Pena dan Tulisan.

3.      Kelemahan umat Nabi Muhammad beribadat maka dianugerahkan satu masa yang apabila kita mendapatkannya kita akan digandakan pahala melebihi seribu bulan.

Apabila disebutkan bahawa tidak ada perkara yang tidak terdapat di dalam al-Quran itu maka ianya memberikan makna bahawa segala ilmu pengetahuan yang merangkumi fardu ‘ain dan fardu kifayah dalam segenap aspek kehidupan merangkumi ekonomi, sosial, perundangan, pendidikan, sains dan teknologi dan lain-lain, segalanya terdapat dalam al-Quran. Tafsiran, kupasan analisa dan penyelidikan membolehkan umat Islam maju mendahului umat-umat lain di dunia ini.

Manakala penurunan al-Quran pula didahului dengan suatu kalimah ‘iqra’’ iaitu ‘baca’ di mana membaca adalah kunci kepada penerokaan ilmu. Selepas itu pula Allah mengiringi dengan ayat yang bermaksud; Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan, -Ia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya.” Keadaan ini menguatkan lagi bahawa pembacaan dan penulisan itu menjadi antara perkara yang paling penting dalam penguasaan ilmu pengetahuan. Di mana sebagaimana diketahui umum melalui satu ungkapan bahawa: “ilmu pengetahuan dan teknologi itu adalah kuasa”.

Perkara ketiga ialah hikmah dari anugerah malam al-qadar kepada umat Nabi Muhammad SAW sebagai umat akhir zaman. Mengetahui kelemahan umat Islam akhir zaman ini dalam beribadah maka dianugerahkan satu peluang di mana ibadah yang dilaksanakan pada malam itu digandakan sehingga 1000 bulan. Bermakna kiranya kita dapat melaksanakan ibadah dengan penuh keimanan di 10 akhir Ramadhan, kita akan berpeluang mendapat malam al-Qadar. Ini akan menjadikan kita seolah-olah beramal ibadah selama 1000 bulan iaitu sekitar 83 tahun. Menjadikan kita seolah-olahnya menghabiskan seluruh hidup kita dan usia kita dalam ibadah.

Bagi mencari malam-malam yang berkemungkinan sebagai malam al-qadar, maka kalangan ulama ada menyatakan bahawa, malam-malam yang ganjil yang tersebut ialah malam 21, 23, 25, 27 & 29 dari bulan Ramadhan. Dalam pada itu terdapat juga beberapa hadis yang menyatakan bahawa malam al-qadar itu pernah ditemui dalam zaman Rasulullah SAW pada malam 21 Ramadhan. Pernah juga ditemui pada malam 23 Ramadhan. Terdapat juga hadis yang mengatakan bahawa baginda Rasulullah SAW. menjawab pertanyaan seorang sahabat yang bertanya mengenai masa Lailatulqadar supaya ianya bersedia dan menghayatinya. Baginda menjelaskan malam Lailatulqadar itu adalah malam 27 Ramadhan. Dari keterangan-keterangan di atas dapatlah kita membuat kesimpulan bahawa malam Lailatulqadar itu berpindah dari satu tahun ke satu tahun yang lain di dalam lingkungan 10 malam yang akhir dari bulan Ramadhan. Yang pastinya bahawa masa berlakunya malam Lailatulqadar itu tetap dirahsiakan oleh Allah SWT supaya setiap umat Islam menghayati 10 malam yang akhir daripada Ramadhan dengan amal ibadat. Dengan beribadah di sepuluh malam terakhir itu, mudah-mudahan akan dapat menemuinya sebagai bekalan kehidupan akhirat.

Kesimpulan

Sebagai kesimpulannya marilah kita sama-sama menghayati nuzul al-Quran ini sebagai suatu peristiwa besar yang penuh makna dan hikmah. Kita seharusnya melihat al-Quran itu sebagai ‘kitab induk’ panduan Ilmu pengetahuan untuk memajukan manusia seluruhnya. Memajukan manusia yang lebih penting adalah memajukan umat Islam terlebih dahulu melalui penguasaan ilmu pengetahuan dan teknologi. Membaca al-Quran itu adalah suatu ibadah. Sekarang bolehlah kita panjangkan ‘membaca’ al-Quran itu kepada menganalisa, mengkaji, menyelidiki dan mencari rahsia ilmu pengetahuan di dalam al-Quran dan seterusnya menghasilkan penulisan-penulisan yang akhirnya memajukan dunia ini dan khasnya memajukan umat Islam dan seterusnya mengeluarkan umat Islam dari belenggu kelemahan dan penghinaan. Umat Islam juga perlu mempertingkatkan amal ibadah terutamanya mengejar anugerah Tuhan yang tidak terhingga kepada umat Islam akhir zaman. Beribadah di 10 akhir Ramadhan memberikan kita peluang keemasan ganjaran pahala seolah-olah beribadah sepanjang hidup kita iaitu 1000 bulan (sekitar 83 tahun).

Rujukan : http://www.islam.gov.my

05
September

Ramadhan dan Zakat

Written by admin. No comments Posted in: Artikel
Tagged with

rukun

Sebahagian dari Rukun Islam

Semua insan yang mengaku Muslim maklum bahawa zakat merupakan salah satu daripada rukun Islam, malangnya bukan sedikit yang mengabaikan tanggungjawab menunaikan zakat selain zakat fitrah. Ini mungkin kerana kurang pendedahan atau peringatan tentang kewajipan ini, khususnya dalam keterlarutan kita melaksanakan tanggungjawab sebagai pelajar. Zakat disebutkan di dalam al-Qur’an lebih daripada 80 kali. Malah seperti kata Saidina Abu Bakar as-Siddiq “Demi Allah, aku benar-benar akan memerangi orang-orang yang membeza-bezakan antara solat dengan zakat, sebab zakat adalah hak atas harta.” (Abu Daud).

Zakat adalah terbahagi kepada beberapa jenis seperti Zakat Fitrah, Zakat Emas & Perak, Zakat Pendapatan, Zakat Barang Perniagaan, Zakat Tanaman & Ternakan, dan lain-lain. Adapun perkongsian di bawah adalah khusus mengenai Zakat Pendapatan yang secara amnya merupakanyang  paling relevan dengan kita semua.

Secara asasnya zakat ditetapkan sebanyak 2.5% daripada harta / pendapatan kasar (gaji kasar + elaun + bonus + sewa rumah + royalti + etc), apabila kedua-dua syarat berikut dipenuhi:

i) Jumlah harta melebihi ‘nisab’ (jumlah minimum harta untuk dikenakan zakat, i.e jika jumlah harta lebih daripada nilai nisab maka keseluruhan harta dikenakan zakat)

ii) Tempoh masa harta dalam hak milik lebih daripada ‘haul’ (setahun mengikut bulan Islam)

Nisab adalah dikira sebagai jumlah harta yang menyamai 87.5g emas asli (24 carat) atau 595g perak asli. Nisab menurut kiraan emas adalah £1,560 dan perak adalah £158. Oleh kerana harga kedua-dua komoditi ini adalah agak berbeza, Ulama’ di UK kebanyakan berpandangan bahawa lebih bermanfaat kepada ummah keseluruhannya sekiranya dikira berdasarkan nisab perak kerana harganya yang lebih lebih rendah. Walaubagaimanapun Pusat Pungutan Zakat di Malaysia mengira nisab berdasarkan emas. Nilai nisab di Malaysia adalah berbeza di setiap negeri tetapi secara puratanya adalah sekitar RM7,000.

Untuk kebanyakan kita perbahasan tentang nilai nisab adalah kurang relevan kerana hampir pasti pendapatan kita secara total dalam setahun adalah melebihi mana-mana jumlah yang tertera di atas. Tujuan ditetapkan nisab adalah untuk mengenalpasti individu yang sepatutnya mampu membayar zakat. Sebagai contoh pengiraan:

“Puan Maimunah memiliki rantai emas dengan harga semasa RM3,000. Beliau juga memiliki simpanan di dalam bank sebanyak RM5,000 dan mempunyai saham dengan harga jualan sebanyak RM2,000”

Jumlah harta beliau adalah RM10,000. Oleh kerana ini melebihi nisab (RM7,000), beliau perlu membayar zakat sebanyak 2.5% daripada jumlah keseluruhan harta beliau (bukan hanya harta yang melebihi nisab). Jadi kiraan adalah seperti berikut: 2.5% daripada RM10,000 = RM250

Rujuk FAQ Zakat.

05
September

FAQ Zakat

Written by admin. No comments Posted in: Artikel
Tagged with

MASA (HAUL)

Q – Bilakah patut saya membayar zakat pendapatan ?

A- Zakat pendapatan dan harta boleh dibayar pada bila-bila masa dalam masa setahun. Walaubagaimanapun, kebanyakan individu menetapkan untuk membayar zakat dalam bulan Ramadhan setiap tahun untuk mendapatkan ganjaran berganda dan supaya individu tersebut tidak lupa !

Zakat juga boleh dibayar secara berkala sepanjang tahun. Contohnya gaji untuk bulan Rejab tahun ini dibayar zakatnya pada Rejab tahun berikutnya, gaji pada bulan Sya’ban tahun ini dibayar zakatnya pada Sya’ban tahun berikutnya, dan seterusnya.

Q – Bolehkan saya membayar zakat sebelum cukup setahun (haul)?

A- Ya, anda boleh membayar zakat sebelum tempoh haul.

Q – Saya menerima sejumlah wang yang agak besar berbanding pendapatan biasa saya pada tahun ini. Bagaimanakah sepatutnya saya mengira tempoh (haul) bagi rezeki tambahan ini ?

A- Terdapat dua cara anda boleh menentukan jumlah zakat anda ke atas rezeki tambahan ini:

i) Anda boleh terus menambah terus rezeki tambahan tersebut kepada jumlah pendapatan tahunan anda. Dengan cara ini anda seolah-olah telah memiliki pendapatan tambahan ini sepanjang tahun. Ini adalah cara yang mudah, praktikal, dan digalakkan.

ii) Anda boleh mempunyai tahun zakat yang berlainan untuk harta tambahan ini. Contohnya jika anda membayar zakat dalam bulan Ramadhan setiap tahun dan menerima rezeki tambahan dalam bulan Zulkaedah pada tahun ini. Maka zakat ke atas rezeki tambahan ini dibayar berasingan pada bulan Zulkaedah tahun berikutnya.

PENGIRAAN

Q – Bagaimanakan cara saya mengira kadar zakat pendapatan ?

A- Terdapat tiga cara anda boleh mengira zakat:

i) 2.5% atas jumlah pendapatan kasar setahun (ini adalah yang terbaik dan digalakkan)

ii) 2.5% atas pendapatan setelah ditolak perbelanjaan asas yang dibenarkan oleh badan berkuasa agama (rujuk keterangan di bawah*)

iii) 2.5% atas pendapatan setelah ditolak perbelanjaan tanggungan sebenar

* Perbelanjaan asas (setahun) yang dibenarkan : contoh bagi Negeri Selangor & Pahang – Diri Sendiri RM8,000. Isteri RM3,000. Anak RM1,000 (bagi setiap anak).

Contoh: Anda mempunyai seorang isteri dan dua orang anak di bawah tanggungan. Jumlah gaji anda setelah dicampur pendapatan lain (sewa rumah, elaun, bonus, etc) adalah RM5,000 sebulan. Maka jumlah pendapatan yang dikenakan zakat adalah RM47,000 [ (RM5,000 x 12 bulan) – RM8,000 – RM3,000 – (RM1,000 x2) ]. Maka jumlah zakat yang perlu dibayar adalah RM1,175 ( 2.5% x RM47,000).

Q – Setelah dicampur dengan pendapatan isteri jumlah pendapatan bersama kami adalah RM90,000 setahun. Bolehkan saya membayar zakat untuk pendapatan bersama sekaligus ?

A- Zakat adalah kewajiban individu. Perkiraan mestilah dibuat menurut pendapatan dan perbelanjaan masing-masing. Walaubagaimanapun, anda boleh menunaikan zakat untuk pasangan anda sekiranya dia bersetuju.

Q – Sekiranya saya dan isteri kedua-duanya menanggung anak-anak bagaimanakah cara penolakan untuk perbelanjaan mereka bagi tujuan kiraan zakat ?

A- Perbelanjaan untuk anak-anak akan dibahagikan sama rata antara suami isteri atau mengikut kadar bahagian yang dibelanjakan (proportionate to the expenses borne).

Q – Bolehkah caruman KWSP dan SOCSO ditolak daripada pengiraan pendapatan untuk zakat ?

A- Boleh ditolak. Untuk KWSP,wang caruman yang disimpan tidak wajib dizakat kerana belum sempurna milik dan si pencarum tidak dapat menggunakan wang tersebut. Walaubagaimanapun zakat perlu dibayar serta merta apabila dikeluarkan sekiranya cukup nisab untuk apa sahaja tujuan.

Q – Saya sedang melanjutkan pelajaran ke luar negara manakala gaji saya di Malaysia masih berterusan. Adakah saya perlu membayar zakat pendapatan untuk gaji tersebut? Bagaimana dengan elaun pengajian yang diterima di luar negara?

A- Elaun dan gaji, kedua-duanya dikira seperti zakat pendapatan dan dikenakan zakat.

Q – Saya memiliki beberapa rumah sewa. Adakah saya wajib mengeluarkan zakat hasil kutipan sewaan, sedangkan pada masa yang sama saya juga perlu membayar hutang rumah kepada bank semasa pembelian rumah tersebut?

A- Hanya lebihan daripada baki sewa selepas ditolak bayaran balik hutang akan dimasukkan dalam kiraan pendapatan untuk zakat. Contohnya sewa bulanan adalah RM1,000 dan bayaran balik pinjaman adalah RM800. Hanya RM200 baki daripada sewaan perlu dimasukkan dalam pengiraan zakat pendapatan.

SIMPANAN

Q – Saya mempunyai 2 simpanan khusus untuk menunaikan haji dan membeli rumah, dan satu simpanan umum untuk kegunaan luar jangkaan (kontigensi) . Perlukan saya membayar zakat atas simpanan ini ?

A- Ya, anda perlu membayar zakat atas kesemua simpanan di atas. Walaubagaimanapun, sekiranya anda menyimpan di Tabung Haji, agensi tersebut akan membayarkan zakat bagi pihak anda. Jadi anda tidak perlu membayar zakat dua kali.

Q – Sekiranya saya telah membayar zakat pendapatan, adakah saya masih wajib membayar zakat atas simpanan saya? Bukankah simpanan tersebut datang daripada sumber yang sama ?
A- Ya, anda masih wajib membayar zakat. Walaubagaimanapun, zakat ke atas simpanan hanya dikenakan bermula daripada tahun kedua dalam simpanan. Jika dikenakan daripada tahun pertama perolehan, seolah-olah mengenakan zakat terhadap harta yang sama dua kali. Walaupun nampak dari sumber yang sama tetapi ia berbeza di dalam pengiraan haul. Secara mudahnya, selepas dibayar zakat pendapatan, jika lebihan pendapatan disimpan dan apabila cukup nisab serta haul ia wajib membayar zakat wang simpanan.

Q – Bagaimanakah mengira zakat wang simpanan?
Bergantung kepada jenis simpanan anda:

Simpanan Tetap : Apabila sesuatu simpanan tetap itu telah genap setahun dan jumlahnya melebihi daripada nisab, maka wajib dikeluarkan zakat sebanyak 2.5% daripada jumlah wang simpanan tersebut.

Simpanan Biasa : Ianya adalah dikira berdasarkan kepada jumlah baki terendah atau berakhir haul bagi simpanan tersebut.

Sekiranya seseorang individu mempunyai lebih dari satu akaun, maka beliau hendaklah mencampurkan semua baki terendah pada setiap akaun simpanan dan mendarabkannya dengan 2.5% bagi mendapatkan jumlah zakat simpanan beliau.

HUTANG/PINJAMAN

Q – Saya telah meminjamkan sejumlah wang kepada sahabat saya. Perlukan saya memasukkan membayar zakat ke atas pinjaman ini?

A- Pinjaman ini dianggap kurang sempurna milik, kerana ada kemungkinan bahawa peminjam tidak dapat membayar balik pinjaman. Justeru anda hanya perlu membayar zakat apabila telah dipulangkan kembali pinjaman tersebut. Anda hanya perlu membayar zakat untuk setahun wang tersebut dikembalikan.

AGIHAN

Q – Bolehkah saya memberikan zakat kepada ahli keluarga sendiri?

A- Zakat boleh diberikan kepada mana-mana salah satu daripada lapan asnaf zakat (fakir, miskin, amil, muallaf, riqab, gharim, fisabilillah, ibn sabil). Sekiranya ahli keluarga anda termasuk dalam salah satu daripada golongan ini, maka dia layak untuk menerima zakat anda. Malah lebih afdhal (utama) untuk mengutamakan ahli keluarga. Walaubagaimanapun sekiranya dia adalah merupakan tanggungan anda (contoh: ibu/isteri/anak) , maka anda wajib untuk menyara individu tersebut dalam apa jua keadaan, dan tidak boleh memberikan mereka  sumbangan daripada zakat anda.

Q – Bolehkah saya memberikan zakat terus kepada asnaf yang dibenarkan tanpa melalui Amil?

A- Anda boleh memberikan zakat terus kepada asnaf yang lain sekiranya anda mahu. Cuma elok diserahkan kepada amil yang dilantik pemerintah kerana biasanya agihan tersebut akan lebih terancang, seimbang, dan sekata, i.e; badan bertanggungjawab kebiasaannya akan dapat mengenalpasti keperluan yang paling mendesak dengan cara agihan yang paling efektif. Malah sekiranya anda berada di Malaysia dan membayar zakat atas pendapatan, jumlah yang anda bayar untuk zakat adalah merupakan rebate daripada bayaran cukai. Contohnya jika jumlah cukai tahunan anda adalah RM10,000 dan anda telah membayar zakat sebanyak RM3,000, maka anda hanya perlu membayar cukai pendapatan atas baki di atas sebanyak RM7,000. Kebanyakan individu lebih suka membayar zakat daripada cukai pendapatan.

LAIN –LAIN

Q – Bolehkah zakat dibayar jika sumber pendapatan wang tersebut adalah dari sumber haram/syubhah?

A- Tidak wajib zakat kerana tidak memenuhi syarat wajib zakat.. Sabda Rasulullah s.a.w: “ Allah tidak menerima sebarang sedekah daripada sumber yang haram” (Riwayat Muslim)

Q – Adakah kewajiban zakat pendapatan sesuatu yang baru di zaman mutakhir ini?
Berdasarkan catatan sejarah, zakat pendapatan telah dikenakan daripada zaman salafus-soleh lagi. Imam Malik dalam kitabnya Al-Muwatta mengatakan bahawa Khalifah Muawiyah mengutip zakat atas pendapatan. Begitu juga pada zaman pemerintahan khalifah Umar bin Abdul Aziz baginda telah pun melaksanakan zakat pendapatan ini ke atas gaji para tenteranya. Malah hampir serupa dengan sekarang, zakat pada zaman beliau dikutip sebelum gaji diserahkan kepada pekerja. Jawatankuasa Majlis Fatwa Kebangsaan telah mengeluarkan fatwa tentang zakat pendapatan ini sejak tahun 2002 lagi.

Secara analoginya, zakat pendapatan adalah hampir serupa dengan hasil tanaman yang dituai. Seandainya para petani diwajibkan mengeluarkan zakat mereka sebanyak lima hingga 10 peratus pada setiap kali musim menuai, maka bagaimanakah pula dengan professional yang memperolehi gaji yang kebiasannya lebih besar pada setiap bulan? Logik akal turut juga menyatakan bahawa zakat wajar dikenakan ke atas pendapatan itu.

Q – Saya tidak membayar zakat selama beberapa tahun. Bagaimanakah sepatutnya saya menunaikan tanggungjawab saya?

A- Bagi setiap tahun yang anda tidak membayar sebelum ini, anda perlu membayar 2.5% atas nilai harta dan pendapatan anda pada tahun-tahun tersebut sekarang, dan mintalah pengampunan daripada Allah yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang atas kesilapan lampau. Jika anda kurang ingat atau tidak pasti berapakah jumlah harta dan pendapatan anda pada masa lampau, anda mesti membuat anggaran yang terbaik (best estimate). Contohnya sekarang Ramadhan 2009 dan anda tidak membayar zakat selama 5 tahun yang lepas. Anda perlu menganggar jumlah harta dan pendapatan anda sepanjang 5 tahun yang lepas, dan membayar 2.5% atas jumlah tersebut.

Q – Saya sering menyumbangkan duit saya bagi tujuan kebajikan banyak kali sepanjang tahun. Apakah saya masih perlu membayar zakat?

A- Zakat mesti dibayar dengan niat khusus untuk menunaikan zakat. Sekiranya seseorang individu menyumbangkan wang atas tujuan kebajikan sekalipun masih tidak boleh dikira sebagai zakat, kerana niat ketika diberikan sumbangan tersebut bukanlah untuk menunaikan zakat. Walaubagaimanapun, untuk tahun-tahun berikutnya anda boleh berniat untuk dikira sumbangan ini sebagai zakat.

Rujukan:

1. Fiqh Zakat karangan Sheikh Dr. Yusuf Qaradhawy

2. Laman web Pusat Pungutan Zakat Wilayah Persekutuan, Selangor, Kelantan, Terengganu, dan Pahang

3. FAQ – Muslim Hands Website

4. A Brief Guide to Zakat – Islamic Relief Publication

5. Zakat – www.almanhaj.or.id

6. Zakat Pendapatan – Bicaramuslim. com

7. Zakat in Malaysia – Haji Mohamed Dahan, Pusat Pungutan Zakat

03
September

MAS

FATWA SYEIKH AL-QARADAWI MENGENAI WAKTU BERBUKA PUASA BAGI MEREKA YANG BERADA DI UDARA

As-syeikh Dr. Yusuf Al-qaradawi, ketua persatuan ulamak seduni telah mengeluarkan fatwa pada hari ahad lepas mengenai penentuan waktu berbuka puasa bagi orang yang bermusafir dengan menaiki kapal terbang. Beliau menyatakan bahawa waktu berbuka puasa bagi mereka ini adalah ketika jatuhnya matahari atau hilangnya matahari dari penglihatan mereka, iaitu bukan mengikut negara yang ia berada di atasnya.

Mengikut fatwanya, setiap penumpang-penumpang kapal terbang yang ingin berbuka puasa, waktunya tidak boleh mengikut negara yang mereka bertolak daripadanya dan juga tidak boleh mengikut negara yang ditujukannya dan juga negara yang ia berada atasnya. Akan tetapi waktunya ialah ketika hilangnya matahari daripada penglihatan mata lender meraka.

Asyeikh berkata, sesungguhnya dia dikejutkan ketika sekembalinya beliau daripada Kaherah ke Doha pada awal ramadhan baru-baru ini dengan pengumuman daripada seorang pilot asing yang bukan islam bahawa sekarang telah masuknya waktu berbuka puasa, dalam waktu yang sama matahari masih terpampang dan siangnya masih jelas. Pengumuman itu berpandukan kepada negara yang berada di bawahnya telah memasuki waktu berbuka.

Fadhilatussyeikh telah menceritakan dialognya bersama penumpang-penumpang first class yang duduk bersebelahannya. Syeikh berkata, tidak harus kamu berbuka puasa sebelum terbenamnya matahari, sebenarnya waktu maghrib masih belum masuk, adakah sah kamu solat maghrib pada tika ini? Jawab mereka, tidak!! Maka aku menjawab balik, demikianlah juga berbuka puasa, tidak boleh ia dilakukan sebelum tiba masanya.

Aku mengakhirkan kalamku dengan mengatakan bahawa manusia itu setiapkali dia berada ditempat tinggi daripada bumi maka akan lewat matahari itu terbenam. Demikianlah juga orang-orang yang tinggal di bukit-bukau atau ditempat –tempat yang tinggi maka akan lewatlah terbenamnya matahari dari penglihatan mereka berbanding dengan orang-orang yang tinggal berhampirannya di tempat rendah atau tanah berdatar.

Akhirnya, Al-qaradawi telah meminta pesawat Qatar (yang berlaku kejadian ini) dan juga pesawat-pesawat arab lain supaya memperingatkan pilot-pilot supaya berhati-hati dengan perkara ini dan memastikan waktu berbuka puasa betul-betul selepas terbenamnya matahari.

Rujukan

31
August

Upsy Daisy – I look I see 2

Written by admin. No comments Posted in: Video
Tagged with , ,

31
August

30
August

Kuliah Ramadhan Ust Zaharuddin

Written by admin. No comments Posted in: Video
Tagged with , ,

29
August

Khutbah: The Month of Ramadhan

Written by admin. No comments Posted in: Video
Tagged with , ,

Original Source : www.suhaibwebb.com

Download Here